CEDI TEROKA POTENSI INKUBATOR PERNIAGAAN PELAJAR
UUM ONLINE: Pulau Pinang – Dalam usaha membangunkan Inkubator Perniagaan, Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) melalui Unit Business Start–Up (BSU) telah menganjurkan Bengkel Pembangunan Program Inkubator Pelajar selama dua hari, baru-baru ini.
Pengarah CEDI, Prof. Madya Dr. Chandrakantan Subramaniam berkata, program ini diharapkan dapat membantu CEDI untuk membangunkan ekosistem dan rangka kerja dalam usaha membangunkan Inkubator Perniagaan yang memanfaatkan inovasi atau teknologi pertama di UUM.
Menurutnya, ini merupakan satu inisiatif agresif yang CEDI cuba ketengahkan untuk melahirkan usahawan yang mempunyai elemen inovatif dan berpengetahuan dalam bidang teknologi.
“CEDI sangat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan 14 peserta bengkel terdiri daripada pensyarah-pensyarah dari pelbagai bidang dan fakulti serta penglibatan staf CEDI yang bersama-sama memberi idea dan buah fikiran untuk menyiapkan rangka kerja inkubator ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Unit BSU, Dr. Wan Norhayati Wan Ahmad berkata, “CEDI mengharapkan Program Inkubator Perniagaan yang bakal dibangunkan ini dapat membantu pelajar yang inovatif dan kreatif untuk mengembangkan idea sehingga mampu menghasilkan produk yang bersifat ‘opportunistic’ berbanding dengan ‘necessity’ atau produk keperluan asas.