All News

20 UA BERSAING SERTAI ‘PITCHING’ PERTANDINGAN SIMULASI PERNIAGAAN UA PERINGKAT KEBANGSAAN 2021

 

UUM ONLINE: Sebanyak 20 universiti awam (UA) telah menyertai ‘Pitching’ Pertandingan Simulasi Perniagaan Universiti Awam Peringkat Kebangsaan 2021 anjuran Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) selaku sekretariat pertandingan dengan kerjasama Unit Keusahawanan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), baru-baru ini.

Pertandingan julung kali diadakan secara atas talian itu melibatkan 100 orang pelajar iaitu setiap syarikat diwakili lima (5) pelajar dan seorang penasihat akademik.

Pertandingan ini dinilai melalui kriteria-kriteria yang telah ditetapkan sekretariat pertandingan dan mewajibkan pihak syarikat membentangkan rancangan perniagaan masing-masing kepada ‘venture capitalist’.

Penjurian dilakukan oleh pemain-pemain utama industri di Malaysia seperti Pengarah Eksekutif MyEG Services Berhad, Dato’ Raja Munir Raja Mustapha; Pengurus Kanan, Global Accelerator Programme (GAP), Syazwani Ismail; Timbalan Presiden Bumiputera Fund, Hazani Hassan dan Timbalan Presiden, Kenanga Investment, Norezuan Ab Malek.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, KPT, Dato’ Saharudin Abu Sohot telah mengumumkan enam pasukan terbaik yang berjaya mara ke fasa seterusnya iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan  Universiti Malaya (UM).

Pertandingan akhir yang dijangka berlangsung pada 26 Julai sehingga 05 Ogos 2021 secara dalam talian itu menawarkan hadiah utama bernilai RM10,000.

Antara universiti lain yang turut mengambil bahagian ialah Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Politeknik Nilai, Seremban yang mewakili Jabatan Pengajian Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti  (JPPKK).

Berita dan gambar oleh: Azhar Jamil