UUM Online: Aktiviti penghasilan sabun mandi organik anjuran Kelab Kebajikan, Institusi Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) menggunakan bahan-bahan asas yang terdapat di rumah seperti minyak masak,dan oats membuat staf-staf berasa teruja untuk menghasilkannya dan menggunakan di rumah masing-masing serta pejabat.
Pengarah CEDI, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam berkata, aktiviti seperti ini dapat memberi kesedaran kepada staf untuk menghasilkan produk kos rendah tetapi berkualiti untuk kegunaan seharian disamping bersifat organik. Menurutnya, penghasilan sabun organik ini telah dilaksanakan oleh pelajar-pelajar Kelab Enactus bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah untuk menjana pendapatan sampingan.
“Aktiviti penghasilan sabun organik ini dapat membentuk sifat berjimat-cermat dalam kalangan staf, disamping mendidik mereka utk menghasilkan produk organik yang berkualiti bagi kegunaan harian.
“Selama ini menerusi Kelab Enactus kita telah banyak membantu mendidik golongan yang kurang bernasib baik bagi menjana pendapatan sampingan menerusi penghasilan sabun ini. Selepas ini kita berharap agar staf-staf CEDI juga dapat mengembangkan inisiatif ini dan bergerak bersama-sama kearah menjalankan aktiviti keusahawanan sosial seumpamanya,” ujarnya yang berharap agar usaha seperti ini dapat dikaitkan dengan sebarang aktiviti keusahawanan dan kemasyarakat, sesuai dengan cita-cita Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI).
Sementara itu, Pengerusi Kelab Kebajikan CEDI, Mohammad Fithri Hamzah berkata, aktiviti-aktiviti seperti ini akan dijalankan lagi bagi mengeratkan silaturahim sesama staf dan bertujuan memberi ilmu baru kepada semua.
“Dengan bantuan Penyelaras ENACTUS, selepas ini kami bercadang untuk mengadakan aktiviti penghasilan sabun pencuci pinggan menggunakan minyak masak terbuang dan sabun pencuci pakaian organik pula”, akhirnya.