All News

PROJEK KUMPULAN CHENTA CEDI RANGKUL TEMPAT KE-3 KIK

kik

UUM ONLINE: Kumpulan CHENTA (Creative, Holistic, Entrepreneurship Technology, Aspiration) dari Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Universiti Utara Malaysia (CEDI) telah merangkul tempat ketig dalam pertandingan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Terbuka UUM 2020 Ke Arah Kelestarian UUM Norma Baharu Secara Online, baru-baru ini.

Kumpulan CHENTA yang terdiri daripada enam staf CEDI dari pelbagai bahagian dan unit serta fasililator telah mempertaruhkan projek KIK bertajuk Proses Permohonan Lesen B Pelajar Yang Terlalu Lama.

Ketua pasukan, Azhar Jamil berkata, kumpulan mereka telah berjaya membangunkan sistem permohonan Lesen B secara atas talian yang dikenali sebagai e-Siswaniaga yang mengambil masa selama 9 bulan untuk disiapkan.

Menurutnya, sistem yang diintegrasikan melalui portal pelajar itu membolehkan pelajar sepenuh masa UUM sama ada pelajar Ijazah Pertama atau Lanjutan untuk mendaftar Lesen B pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada dengan menggunakan semua peranti sama ada komputer, tablet dan juga melalui telefon pintar.

“Objektif utama pembangunan sistem ini adalah untuk meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang keusahawanan dalam membentuk ekosistem keusahawanan yang mampan di UUM.

“Ini adalah selaras dengan aspirasi yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) iaitu penyertaan sebanyak 15 peratus pelajar menjalankan perniagaan di dalam kampus,” katanya.

Tambahnya, UUM juga merupakan Universiti Awam (UA) pertama seumpamanya yang mempunyai pendaftaran lesen perniagaan pelajar secara atas talian.

Menurutnya, pasukan CHENTA akan mewakili UUM dalam KIK Peringkat UA dan mereka berharap dapat mengharumkan nama universiti dengan produk inovasi yang dibangunkan itu.